PAMERAN /

Boom Boom Bang: Play & Parody in 1990s K.L.

13 Oktober 2024 – 9 Mac 2025 (Aras 5)

PROGRAM

Kuala Lumpur mengalami suatu lonjakan dalam keyakinan politik dan ekonomi pada era 1990-an. Pada waktu itu, ekonomi Malaysia tumbuh dengan pesat, dan rakyat sangat berbangga dengan pencapaian negara. Perkembangan Kuala Lumpur, atau lebih dikenali sebagai KL, disokong oleh ledakan ekonomi Asia dan ia memiliki budaya hidup bandar yang sedia rencam. Budaya, seni, persembahan, dan juga hiburan berkembang dengan pesat dan sangat meriah dalam suasana yang menggalakkan kolaborasi rentas disiplin. Bandaraya Kuala Lumpur sendiri tumbuh dengan sangat pantas dengan kehadiran para pekerja asing yang bertungkus lumus membina bangunan-bangunan pencakar langit dan lebuh raya. Namun demikian, pada tahun 1997, apabila terjadinya Krisis Kewangan Asia dan perpecahan ideologi, segala-galanya terhenti.

Pameran ini mengambil tajuk sebuah dokumentari, iaitu Boom Boom Bang, arahan Zakiah Omar dan Hanno Baethe yang diterbitkan pada tahun 1998. Dokumentari ini memaparkan tentang bagaimana para seniman dan penulis menggunakan parodi dan pendekatan bermain (meneroka) dalam mengkritik perubahan budaya dan sosial pada masa itu. Di awal dokumentari tersebut, penggiat teater Jo Kukathas berkata, “Maklumat dan propaganda yang disogokkan terlalu memberat satu hala dengan satu cara fikir, dan saya fikir kita ada di situ untuk memberi sedikit penekanan terhadap cara-cara fikir yang lain.”

Boom Boom Bang: Play & Parody in 1990s K.L. menyelami naratif sebuah kota yang sangat kaya dan rumit berdasarkan cerita-cerita daripada para seniman, penghibur, dan penulis yang terlibat secara langsung dalam membentuk budaya saingan pada waktu itu. Pameran ini mengetengahkan gandingan dua buah konsep, iaitu parodi dan permainan, yang menjadi kunci untuk memahami landskap budaya di Kuala Lumpur pada tahun 1990-an. Dengan menggunakan jenaka untuk mengkritik pihak berkuasa, parodi menjadi suatu alat yang sangat berkesan dalam menyatakan kebenaran dan melawan naratif yang dominan. Perkara ini terjadi ketika globalisasi dan pembangunan pesat di kota itu sering diungkapkan dengan pelbagai retorik yang sedap didengar oleh telinga. Namun, di bawah lapisan itu, terdapat ramai seniman yang sedang melawan gambaran ideal ini dengan mencadangkan cara-cara alternatif untuk hidup dan bekerja di kota.

Konsep permainan pula muncul melalui semangat “buat sendiri” atau DIY yang mencirikan dekad yang penuh dengan kolaborasi rentas disiplin ini. Ketika ruang-ruang dan kelompok-kelompok seni semakin bertambah di kota Kuala Lumpur, para seniman dari pelbagai latar belakang mula menjalankan pelbagai projek bersama. Projek-projek ini tidak hanya menyemarakkan lagi daya kreatif, tetapi juga menjadi wadah untuk mengetengahkan suara-suara yang kurang didengari. 

Pameran ini mengetengahkan budaya saingan yang muncul beransur-ansur akibat proses perbandaran dan kemajuan Internet ini. Ketika kota ini semakin membesar, ranah budayanya juga semakin membesar. Banyak ruang dan kelompok seni lahir dan membawa suara-suara yang berbeza dengan cara sendiri.

Boom Boom Bang meninjau kembali pendewasaan/perkembangan budaya seni di Kuala Lumpur. Di samping mempamerkan praktis seni rentas disiplin yang penting dari tahun 1990-an, pameran ini turut menampilkan dokumentasi arkib melibatkan kedua-dua seni persembahan dan seni visual, merangkumi foto, objek, rakaman video, lakaran, surat-menyurat, poster, dan juga risalah. Ia menampakkan peningkatan ketara dari segi kerencaman ekspresi budaya di lokasi-lokasi dan ruang-ruang yang berbeza, mendedahkan hubungan-hubungan yang tidak dijangka ketika para seniman bergelut dengan pengalaman semasa mereka dalam mencabar pengertian lazim tentang identiti dan rasa kepunyaan di Malaysia.
 

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM