PAMERAN /

Domestic Bliss

16 NOVEMBER 2019 - 15 MAC 2020

Usaha sama dengan The Factory Contemporary Art Centre Vietnam

Domestic Bliss ialah pameran edisi kedua ‘Pollination’, sebuah program untuk membangunkan rangkaian artis-kurator-komuniti kreatif yang aktif dan saling menyokong di rantau Asia Tenggara. Digerakkan oleh The Factory Contemporary Art Centre di Vietnam, edisi 2019 dibangunkan bersama ILHAM Gallery dengan memperkenalkan pameran “dua kurator/dua pameran/dua artis” bersama artis muda dari Vietnam dan Malaysia. Kurator Khatijah Rahmat (Malaysia) dan Lê Thuân Uyên (Vietnam) telah bekerjasama sepanjang enam bulan membangunkan pameran Domestic Bliss yang mempersembahkan karya-karya dari artis muda Izat Arif (Malaysia) dan Hoàng Minh Đúc (Vietnam, menetap di Australia). 

Walaupun perkataan bahasa Inggeris ‘domestik’ berasal dari Latin ‘domus’ yang bermaksud rumah, maknanya melangkau bahan, seperti bata dan mortar. Ia juga menangkap beberapa idea kerohanian dan psikologi mengenai ‘rumah’ termasuk idea-idea kekeluargaan, kebergantungan dan juga falsafah. Sejak abad ke-17, perkataan ‘domestik’ mulai menuruti maknanya, digunakan secara meluas untuk menggambarkan ‘sesuatu yang terhasil dari rumah’. Dalam lingkungan makna ini, dua artis yang berbeza dari pembawaan konteks dan metode, berkongsi matlamat untuk merungkai tanggapan rapuh dan tidak menentu terhadap rumah dan kepunyaan. 

Dengan karya Izat Arif diselubungi oleh batas sosial ‘keMelayuan’ dan Hoàng Minh Đúc menghuraikan teka-teki asimilasi budaya Vietnam; setiap artis mengutarakan persoalan, apakah harga sebuah ‘kebahagiaan domestik’? 

Adakah kita harus mematuhi mitos nasional selama mana kita dibesarkan? Sebagai orang asing di negara orang, perlukah kita memikul reputasi negara asal kita? Bagi Izat Arif, penerokaan ini memerlukan autopsi terhadap institusi pembentuk-mitos kenegaraan moden melalui cipta kembali dan humor senyap. Bagi Hoàng Minh Đúc pula, dorongan persembahan mentah beliau mengungkaikan tanggapan ‘orang luar/dalam’ yang menghantui kehidupan profesional dan peribadinya.

Mengenai Kurator
Khatijah Rahmat (Malaysia) ialah kurator dan artis. Ini kali kedua beliau terlibat dengan kerja kekuratoran di ILHAM semenjak menyertai pameran pertama ILHAM Gallery Contemporary Forum pada 2017 sebagai kurator jemputan. Beliau melengkapkan pengajian Sarjana Seni Halus di Universiti Oxford pada tahun 2018.

Lê Thuân Uyên ialah penolong kurator di Factory Contemporary Arts Centre (HCM City). Kerja-kerja beliau terarah kepada kajian terhadap sejarah alternatif Vietnam, mengangkat naratif peribadi yang dianggap hilang, tidak diketahui dan tidak diingini oleh rekod sejarah rasmi. Antara projek kuratorial beliau termasuk berkhidmat sebagai kurator residen di Art in General (NYC) dari April-Ogos 2017 melalui fellowship bersama Asian Cultural Council.

Mengenai Artis
Izat Arif (Malaysia) adalah artis multi disiplin yang menggabungkan lukisan, objek arca dan bahan sedia ada untuk menghasilkan instalasi rumit. Karya-karya beliau menampilkan komentar ikonik terhadap struktur ekosistem kebudayaan Malaysia. Beliau telah menyertai banyak pameran di Kuala Lumpur termasuk di Galeri PETRONAS dan Bakat Muda Sezaman di Balai Seni Negara. Beliau telah melengkapkan residensi di Nanyang Technological Centre for Contemporary Art (NTU, CCA) di Singapura pada tahun 2018.

Hoàng Minh Đức (l. 1978, Hưng Yên) adalah artis visual yang kini menetap di Melbourne, Australia. Praktik utama beliau ialah performan, di mana objek-objek tempatan dan peribadi digunakan di dalam karya-karya ulang berdurasi yang mengulas isu-isu sosial. Beliau menyertai pelbagai pameran dan festival seni performan termasuk B10.05 di MoTplus (2018).

Mengenai Pollination
Dengan tujuan menyediakan komuniti penghasil serantau untuk menghubungkan bakat-bakat melalui jaringan, ruang dan peluang, ‘Pollination’ memupuk perkembangan praktik seni melalui persoalan kuratorial, memandang kepentingan hubungan antara kurator dan artis akan mewujudkan pemikiran, penulisan dan dialog kritis – wacana yang amat diperlukan sebagai sumber boleh guna perbandingan antara wilayah. ‘Pollination’ membayangkan kerjasama jangka masa panjang di antara pelbagai institusi/komuniti di seluruh Asia Tenggara,  dengan menawarkan peluang kepada bakat-bakat kuratorial dan artisitk baru bekerjasama dengan entiti-entiti yang lain di rantau yang sama. Sebagai initiatif persendirian/bukan kerajaan, ‘Pollination’ beriltizam membangunkan dan memupuk kemahiran dan hubungan antara artis dan kurator dalam bekerja (dan mempersoalkan) struktur institusi pameran di Asia Tenggara.

Edisi pertama Pollination dibangun dan ditaja bersama SAM Fund for Arts and Ecology (Indonesia) pada tahun 2017 dan kini bersama ILHAM Gallery untuk edisi 2019, The Factory akan terus menjemput institusi/komuniti tambahan untuk melantik kurator kanan penasihat dalam edisi yang berikutnya. Mereka pula akan bertanggungjawab memilih kurator muda dan seterusnya pemilihan artis. Bergantung kepada dana, ruang dan ketika, setiap edisi akan melibatkan kerjasama dua bandar, termasuk untuk geran perjalanan, kajian, penghasilan dan pameran bagi membangunkan projek bersama (dalam format yang terbuka). Mesyuarat talian disusun untuk saling membincangkan projek-projek baru dan inisiatif kemungkinan tanpa mengira bentuk projek. 

Tahun ini, kedua-dua kurator meluangkan masa selama satu ke dua minggu di negara rakan sekerja mereka untuk mendekati dan mempelajari konteks sosio-politik negara masing-masing. Perkongsian pengalaman ini bukan sahaja dapat membina konsep yang kukuh untuk kedua artis pilihan mereka, malahan dalam membangunkan pameran Domestic Bliss, mereka dapat bertukar pandangan kuratorial dari cabaran dan pengalaman bekerja bersama artis pilihan, bermula dari pembentukan idea sehingga siap untuk dipamer di ruang muzium.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM