PAMERAN /
Tayangan dan perbualan ini merupakan pembukaan program filem baharu di aras 3 galeri bertajuk Meet Us at the Ridge oleh Ekin Kee Charles, yang akan berlangsung dari 15–30 Mac 2025.
Dengan kerjasama Han Nefkens Foundation.
Filem ini mengisarkan bicara ketidakpastian, curiga dan tentangan menerusi perspektif kepercayaan dan tradisi.
“Setahun lalu, keluarga pihak bapa saya mengadakan upacara Mongukas. Upacara ini khusus memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Kami sepatutnya mengorbankan seekor lembu, yang mana dagingnya akan diagihkan untuk majlis keramaian ahli keluarga yang masih hidup dan kepalanya pula akan dihantar ke perkuburan sebagai persembahan untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Namun ibu bapa saya memutuskan untuk tidak meneruskan upacara tersebut dan saya berasa marah terhadap diri sendiri kerana tidak dapat mengubah keputusan itu akibat tidak berpengetahuan tentangnya. Walaupun kesal kerana semakin menjauh dari budaya, saya lebih bersedih mengetahui semangat nenek moyang semakin luput dari ingatan.”
Rena, Mina dan Joni, sahabat akrab baya enam puluhan, menumpang sebuah lori haram untuk perjalanan jauh dari kampung ke kota dengan tujuan membeli keperluan harian dan memujuk anak perempuan Rena untuk pulang.
“Saya membesar di Kota Marudu, sebuah daerah yang ditandakan sebagai tempat yang termiskin di Malaysia. Saya keluar dari kampung ketika berumur 19 tahun. Aktiviti kegemaran sewaktu membesar bersama sepupu ialah membayangkan kehidupan kami jika memiliki kekayaan. Kami asyik menonton video pempengaruh YouTube kegemaran, mengimpikan kehidupan yang hebat dan bergaya, seperti yang ditayangkan dalam talian. Tidak berkemampuan untuk memiliki membuatkan saya merasa kecil; saya menetapkan tujuan apabila besar nanti, yang saya akan memperbaharui diri, dan berpindah ke bandar besar. Kini saya bekerja dan menetap di Kuala Lumpur, mencapai impian untuk lari dari kampung terpencil. Namun setiap kali saya menatal laman Facebook, terlihat ibu dan rakan-rakannya mengecap kesenangan dan kejujuran hidup di kampung, kehidupan yang saya benci pada masa dulu. Mereka hidup dengan istilah mereka tersendiri. Yakin dengan diri dan tidak memerlukan pengesahan dari sesiapa pun. Filem ini meraikan wanita-wanita tersebut, menyedarkan betapa sayangnya saya terhadap mereka dan mengimpikan kehidupan seperti mereka apabila tua nanti.”
Ekin Kee Charles merupakan pembikin filem dari Sabah, Malaysia. Beliau berketurunan Kimaragang, jalur suku kaum dari Kadazandusun Dayak. Ekin membesar dalam masyarakat yang rapat antara satu sama lain termasuk ahli keluarga yang berpindah dari kawasan pergunungan pendalaman ke Kota Marudu, Sabah. Karya beliau banyak berkisarkan tentang komuniti dan gaya hidup tempat asalnya, dan selalu mengambil penduduk kampung sebagai pelakon dan kru dalam projek beliau. Ekin banyak berkongsikan minat mendalamnya terhadap filem menerusi bengkel untuk masyarakat asal di Sabah dan juga di tempat lain di Malaysia.
Ekin Kee Charles merupakan penerima Han Nefkens Foundation-Loop Barcelona Video Art Production Award 2022.
2015-2025 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG