PAMERAN /

Hsu Che-Yu: Three Episodes of Mourning Exercises

3 Februari – 26 Mei 2024 (Aras 3)

 

ILHAM mempersembahkan Three Episodes of Mourning Exercises oleh seniman video dari Taiwan, Hsu Che-Yu dengan kerjasama Han Nefkens Foundation. Pemenang Anugerah Seni Video Han Nefkens Foundation – The Loop Barcelona pada tahun 2020 ini dikenali dengan karya yang tertumpu kepada kajian dan lawatan semula detik sejarah, dan juga membina semula memori peribadi dan kolektif. Anugerah ini khusus menyokong seniman-seniman asal Asia atau berwarga negara Asia demi mengembangkan penghasilan artistik seni video.

Pameran ini mempersembahkan tiga buah karya bertajuk Gray Room, Blank Photograph dan Zoo Hypothesis yang merupakan kerjasama antara seniman dan pasukan forensik yang pakar dalam imbasan 3D tempat kejadian jenayah. Karya-karya ini mengangkat tubuh, ruang dan memori sebagai sebahagian dari penyiasatan seniman dalam “politik kematian.”

Karya Gray Room merupakan sebuah penghormatan kepada nenek seniman yang sudah meninggal dunia. Penemuan terkini dalam bidang perubatan mengakui bahawa “roh”, sebuah aspek kehidupan manusia yang tidak terlihat dan abadi terkandung emosi dan kesedaran hanyalah reaksi yang berlaku di dalam sistem saraf semata-mata – satu kefahaman yang menidakkan kewujudan jiwa. Seniman mengenang kembali pengalaman tubuhnya berada di dalam rumah neneknya dan merenung kematian dan ingatan dari perspektif material. 

Blank Photograph dihasilkan berdasarkan memori seorang pengganas. Pada tahun 2003, Yang Ru-Men memasang bom di bandar Taipei. Namun, tiada satu pun bomnya meletup. Tindakan Yang kemudiannya dilihat sebagai gerakan perjuangan petani sealiran dengan gerakan anti-neoliberalisme dan hukumannya diringankan. Beberapa tahun selepas dia dibebaskan dari penjara, adiknya membunuh diri di rumah keluarganya. Si pengganas melawat kembali pantai dan melakon semula aksi menghasilkan bom, dan bagaimana dia mendapat inspirasi daripada gerakan berani mati United Red Army di Jepun. Si pengganas juga pulang ke rumah keluarganya di mana peristiwa bunuh diri tersebut berlaku. Seniman telah menghasilkan imbasan digital reka bentuk rumah Yang Ru-Men. Model digital ini kemudiannya digunakan untuk membina semula memori pembuat bom ini secara maya. Dengan menyandingkan kejadian bunuh diri yang memberi kesan kepada keluarga si pengganas bersebelahan dengan pengorbanan di sebalik serangan pengganas berani mati, seniman mengangkat kematian sebagai titik tegang antara individu dan kolektif.

Zoo Hypothesis pula berkisar tentang amalan berkabung sesama haiwan (amalan yang dicipta oleh manusia), di mana pelatih zoo melatih gajah dan orang utan untuk berlutut dan melakukan penyembahan untuk memperingati haiwan yang terkorban akibat perang.  Penulis skrip dan pelaku membincangkan bagaimana hendak melakonkan semula amalan tersebut di studio taksidermi haiwan dalam usaha menghasilkan skrip tentang haiwan tersebut. Perbualan mereka juga merujuk kepada pelaksanaan pembunuhan haiwan secara meluas di zoo di Taiwan setelah bandar mereka dibom oleh tentera Amerika Syarikat pada tahun 1944, mengakibatkan banyak haiwan digunakan dalam takseidermi untuk memelihara bentuk pergerakan dan postur.  Hubungan antara ‘isyarat’ dan ‘keganasan’ juga dibahaskan dalam perbualan mereka. Video ini menampilkan zoo Taiwan dan studio taksidermi yang dibina semula menggunakan teknologi imbasan 3D.

 



 
Dilahirkan pada tahun 1985, Hsu Che-Yu kini menetap dan giat di Taipei. Pada tahun 2022, beliau memulakan residensi seni di Rijksakademie di Amsterdam selama dua tahun. Karya Hsu Che-Yu tertumpu kepada animasi, video dan instalasi yang mengangkat hubungan antara media dan ingatan. Hsu pernah menyertai Theater de Weklt (Frankfurt, 2023), Bienal de São Paulo (2021), Seoul Mediacity Biennale (2021), program umum Sonsbeek20→24 Quadrennial (2021), Techniques of Becoming (Württembergischer Kunstverein, Stuttgart, 2021), VIDEONALE.18 (2021), Shanghai Biennale (2018), London Design Biennale (2018), Asian Art Biennial (Taichung, 2017), dan festival filem IFFR International Film Festival Rotterdam (2023, 2022, 2020, 2018) dan NYFF New York Film Festival (2020). Beliau menerima anugerah Videonale Award of the Fluentum Collection (Kunstmuseum Bonn, 2021), Loop Barcelona Video Art Production Award (Han Nefkens Foundation, 2020), Taishin Annual Grand Prize (Taishin Bank Foundation for Arts and Culture, 2016), finalis untuk HUGO BOSS ASIA ART (2019).
 

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM