PAMERAN /
ILHAM berbesar hati mempersembahkan Jungle Jungle, sebuah pameran oleh artis Taiwan, Zhang Xu Zhan. Ini merupakan pameran julung kali diadakan di Malaysia oleh artis yang juga penerima anugerah Deutsche Bank “Artist of the Year” 2021.
Pertama kali dipamerkan di Taipei Fine Arts Museum, Jungle Jungle menampilkan filem Compound Eyes of Tropical yang telah memenangi anugerah Golden Horse untuk kategori filem pendek animasi terbaik pada tahun 2022. Karya-karya lain yang turut dipamerkan termasuk video animasi, arca bahan campuran, dan juga patung boneka kertas dan instalasi kertas khusus tapak (site-specific), diinspirasikan daripada teknik budaya tradisional Taiwan yang dikenali sebagai “huzhi (糊紙)" (papier-mâché), yang selalu digunakan untuk majlis keramaian.
Jungle Jungle meneroka sifat sepunya dan kepelbagaian antara budaya yang berbagai, antaranya dengan mengupas persoalan-persoalan seperti bagaimana makna dalam muzik berubah dalam tularan dan bagaimana cerita lisan dan kisah rakyat disesuaikan mengikut versi setempat.
Artis menemukan kisah rakyat Sang Kancil dan Buaya ketika menjalani program residensi di Indonesia. Cerita ini, yang mengisahkan kebijaksanaan Sang Kancil yang mampu mengakali musuh-musuhnya, memiliki persamaan dengan kisah-kisah rakyat dari tempat-tempat lain di Asia. Artis meneroka sifat sepunya dengan menyesuaikan kisah yang asli dengan kisah-kisah rakyat yang memiliki unsur sama, antaranya Tikus dan Kerbau, kisah dari tempat kelahiran artis, Taiwan, dan Arnab dan Ketam, kisah dari China. Imej haiwan saling bertukar pantas, meluaskan lagi ruang untuk tafsiran dan membuka jalan untuk meneroka hubungan global menerusi persamaan teks kisah rakyat.
Pengunjung akan melihat naratif dari pandangan mata majmuk lalat, di mana kisah rakyat dipersembahkan sebagai bekas yang dipenuhi dengan metafora simbolik seperti cermin dan bayang. Di sini, kisah rakyat dilihat bukan hanya melalui penceritaan satu kisah asal tetapi dari pelbagai pandangan yang mencerminkan aliran budaya dan keterhubungan dan persamaan antara manusia dan haiwan.
Artis visual kontemporari dan pembikin animasi Zhang Xu Zhan (l. 1988, Taipei, Taiwan) memperoleh Sarjana dari Department of New Media, National Taipei University of the Arts. Waris generasi keempat pengusaha kraf kertas, beliau dikenali dengan kepakaran dalam menghasilkan orang-orangan kertas. Amalan seni beliau merangkumi pelbagai bentuk artistik termasuk animasi, seni video, filem eksperimental, teknik henti gerak patung kertas dan pemasangan video pelbagai saluran. Pada tahun 2021, beliau dinamakan sebagai Duetsche Bank “Artist of the Year”, dan pada tahun 2022 pula beliau memenangi anugerah Filem Animasi Pendek Terbaik di Golden Horse Awards. Zhang Xu Zhan telah menyertai pelbagai pameran antarabangsa termasuk Yokohama Triennale 2020 dan Shanghai Biennale 2018. Karya animasi dan video beliau kini termasuk dalam koleksi beberapa institusi terkemuka.
2015-2024 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG