PAMERAN / Latiff Mohidin

Latiff Mohidin: Pago Pago (1960 - 1969)

12 Ogos – 30 Disember 2018, Aras 5

PROGRAM-PROGRAM PAMERAN

Latiff Mohidin

Pagoda II, Pago Pago Series, 1964, Oil on canvas, 100 x 102.5 cm

Latiff Mohidin: Pago Pago (1960-1969) menceritakan zaman formatif pengamalan pelukis pada tahun 1960-an sempena pengembaraan beliau merentasi Eropah dan Asia Tenggara. Ungkapan “Pago Pago” dalam tajuknya digubal oleh pelukis sendiri untuk menimbulkan kesedaran yang terjalin daripada kembara ini. Sebagai satu cara memikir dan bekerja yang bertujuan mencabar dominasi modenisme Barat pada masa itu, Pago Pago membawa Latiff meninjau pendekatan sinkretik terhadap bentuk dalam karyanya, dan berdialog dengan pemikir-pemikir avant-garde di Asia Tenggara. Pameran utama yang pertama bagi beliau di Eropah, Latiff Mohidin: Pago Pago (1960–1969) menawarkan lebih daripada 70 buah catan, lakaran dan cetakan seni, disokong oleh dokumen-dokumen arkib, serta menempatkan dia dalam dialog pelukis-pelukis Eropah yang setaraf.



Pago Pago, 1966, Ink and wash on paper, 13.6 x 21.5 cm

Latar sejarah kepada pameran ini ialah awal tahun 1960-an, ketika Latiff memulakan secara rasmi pendidikan seninya di Hochschule für Bildende Künste di Berlin Barat. Di situ dia mempelajari bahasa Jerman dan menumpukan perhatian kepada mata pelajaran biasa maktab seni, seperti lukisan, alam benda, lanskap dan seni cetak. Bahkan, Berlin juga memperkenalkan Latiff kepada perdebatan-perdebatan yang merebak pada ketika itu di kalangan lingkungan kesenian Jerman, terutamanya tentang bagaimana kedudukan Jerman sebelum perang boleh dikembalikan, dan minat yang sedang berkembang mengenai penggunaan apa yang digelar imej primitif. Kota Berlin memberi peluang kepada Latiff Mohidin untuk mengalami ekspresi etos progresif pergerakan-pergerakan yang membawa pembaharuan seperti Kubisme, Futurisme, Dadaisme, Konstruktivisme dan Surealisme, sambil membolehkan dia mengkaji kaitan etos progresif ini dengan fahaman dia tentang pusaka nenek moyangnya sendiri. Dalam konteks ini, penemuan Latiff pada tahun 1961, dengan sekumpulan relik sejarah Thai dan Khmer yang berbentuk pagoda di Muzium Etnologi Dahlem Berlin, yang daripadanya istilah “pagoden” dan kemudiannya “pago” muncul, perlu diberi perhatian. Jika diteliti tahun-tahun Latiff di Berlin, suatu perubahan penting boleh diperhatikan dalam cara dia berkarya. Dia jadi semakin sukar difahami, mencungkil suatu unsur adat Minangkabau yang dialami semasa membesar di bawah Pemerintahan British. Unsurnya ialah “merantau”, merujuk kepada adat meninggalkan rumah dan kampong dengan sukarela.



Pago Pago, 1969, Oil on canvas, 84 x 110.5 cm

Latiff Mohidin kembali ke Asia Tenggara pada tahun 1964 dengan hasrat untuk bergembleng semula dengan rantau ini. Semasa dia berlepas ke Eropah, beberapa pergerakan nasionalis sudahpun mula menempa kejayaan di seluruh Asia Tenggara. Pada tahun 1964, kemerdekaan daripada pemerintahan penjajah bukan hanya keinginan semata, tetapi suatu yang pasti akan berlaku. Tahun 1965 adalah tahun yang membina dan juga yang meruntuh, bila Singapura berpisah daripada Persekutuan Malaysia, sementara Indonesia dan Filipina menentang lojik pemisahan Semenanjung Tanah Melayu daripada Nusantara, gugusan dunia sejarah Melayu. Bulan Mei 1969 pula menandakan titik perubahan di Malaysia bila rusuhan perkauman meletus di Kuala Lumpur, membawa kepada anjakan besar dalam kontrak social serta menjejas aktiviti kebudayaan. Latiff Mohidin mengharungi perubahan pencorakan politik ini sambil menjelajah wilayah serantau daripada 1964 hingga 1969. Dalam menyedari kesan pengaruh ideologi dalam suasana Perang Dingin, Pago Pago berdiri tegas menghadapi desakan doktrin. Latiff Mohidin mengusahakan rancangan yang berlainan: menempa sebuah lingkungan dalam mana kesedaran intelektual serantau mampu menemui bentuk.



Pago Pago Kelam, 1967, Acrylic on canvas, 95.5 x 152 cm

Sepanjang tahun-tahun 1960-an Latiff bergembleng dengan individu generasinya (yang mengenali diri sebagai “avant-garde” Asia Tenggara), daripada Goenawan Mohamad di Jakarta kepada Thawan Duchanee di Bangkok, dan kemudiannya Salleh Ben Joned di Kuala Lumpur. Tujuannya ialah pembalikan tindak balas awal generasi sebelumnya terhadap modenisme Eropah, yang pada dasarnya menentang apa yang berbau penjajahan. Cabarannya ialah untuk membentuk sejenis kepekaan estetik yang mampu mendalami jiwa pelukis di tengah-tengah arus keharuan ideologi dan konsep. Bagaimana boleh kita memaju dan mempertingkatkan seni catan, lakaran dan penulisan yang secocok dengan suasana tempatan? Jika kita andaikan tahun 1960-an sebagai dekad bila mana pelukis dari wilayah yang dahulunya dianggap tidak setaraf, seperti Amerika Latin dan Afrika, menampilkan kedudukan penyertaan dalam pemetaan semula Modenisme, Pago Pago boleh dikatakan di antara pemaparan yang terulung pada masa itu, menempatkan Asia Tenggara dalam keadaan yang sama sebagai suatu sumber idea-idea baru untuk kesenian moden.



PROVOKE, 1965, Acrylic on board, 90 x 120 cm

Pameran ini menjemput para pelawat menghayati pembentukan sebuah avant-garde serantau, menerusi sejarah mikro seorang individu Asia Tenggara. Siri Pago Pago Latiff Mohidin mengandungi sketsa, catan, arca, cetakan seni dan sajak. Puisi tahun-tahun Pago Pago berbentuk sajak bebas yang dengan sengaja tidak mengikuti susun atur “a-b-a-b” rangkap pantun tradisional. Sketsa bentuk fenomenon sejarah atau semula jadi, daripada kuil-kuil Angkor ke pucuk rebung dan teritip berbagai bentuk, menawarkan pemahaman tentang perspektif kosmik Latiff Mohidin. Dalam kita memindah perhatian daripada kanvas ke kertas ke dakwat, setiap bentuk Pago Pago muncul dari bumi seakan-akan objek biomorfik. Dalam beberapa kes, penjelmaan ini beradun sama, menunjukkan bagaimana semua rupa bentuknya mempunyai unsur saling bergantungan. Menerusi setiap jalinan visual dan fragmen puitis, Latiff Mohidin mengemukakan sebuah alam-hidup Pago Pago yang mengukur masa bukan sebagai aliran sepanjangan tetapi berkitaran.



Still Life 62, 1962, Acrylic on board, 37.8 x 67.7 cm

Pameran ini adalah hasil cetusan idea Catherine David dan Shabbir Hussain Mustafa. Ia pertama kali dipersembahkan oleh National Gallery Singapore dengan kerjasama National Museum of Modern Art, Centre Pompidou di Paris dari 27 Februari hingga 27 Mei 2018.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM