Pameran Love Me in My Batik ini menghidangkan naratif tentang lukisan batik sebagai satu gaya seni moden yang unik yang muncul di Malaysia dan di luar negara, semenjak kemunculannya pada 1950-an hingga ke hari ini. Bermula dengan lukisan-lukisan batik terawal ciptaan Chuah Thean Teng, pameran ini melihat bagaimana medium ini diangkat dan diolah semula oleh beberapa generasi pelukis di dalam usaha mereka untuk memberi respons kepada pelbagai imaginasi dan konteks nasional yang berbeza sepanjang beberapa period dalam sejarah Malaysia selepas Perang Dunia Kedua.
Tajuk pameran ini adalah bersempena dengan tajuk karya kolaj Joseph Tan yang dihasilkannya pada 1968, sebuah karya yang menyajikan komentar lucu tetapi tajam berkenaan fenomena kegilaan dalam ruang budaya di Malaysia yang telah dicetus oleh batik ketika negara sedang mencari suatu bentuk budaya yang secocok dengan identiti modennya. Pameran Love Me in My Batik ini menelusuri dua naratif yang bersilangan: pertamanya, kemunculan lukisan batik sekitar 1950-an yang pada mulanya berlaku hasil dokongan sistem penaungan kolonial yang giat mempromosi lukisan batik sebagai medium seni halus, dan keduanya, langkah kerajaan mempromosi batik hingga menjadi satu fenomena budaya popular sejak 1960-an serta berkembangnya sebuah industri pembuatan batik.
Pameran ini akan meninjau sisi naratif Malaysia yang unik ini dengan mengambil kira keberkaitan serta pertembungan yang lebih luas di antara usaha mencari satu wawasan kesenian lokal dan keinginan untuk merangka identiti negara. Pameran ini juga meneliti perubahan bentuk-bentuk kesenian tradisional bagi mencerminkan aspirasi-aspirasi moden.
Pameran Love Me in My Batik ini menampilkan lebih daripada 70 buah karya yang merangkumi karya-karya tokoh-tokoh pelukis perintis seperti Chuah Thean Teng, Tay Mo-Leong dan Khalil Ibrahim sampailah kepada karya-karya artis-artis kontemporari Liew Kung Yu dan Yee I-Lann.
Sebagai elemen perbandingan tambahan, pameran ini juga mengetengahkan beberapa karya seni rupa batik kontemporari ciptaan artis-artis Indonesia, iaitu Eko Nugroho, Bambang ‘Toko’ Witjaksono, Samuel Indratma, dan pasangan suami-isteri Samantha Tio (Mintio) dan Budi Agung Kuswara (Kabul).
Tarikh Pameran: 28 Februari – 20 Jun 2016
2015-2024 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG