PAMERAN /
Sebidang tanah, sepakat kisah. Di tengah-tengah plot ladang terletak pertumbuhan, kemajuan, dan pasaran terbuka, di mana komoditi tanaman mono menyubur dengan penuh semangat sambil menular bebas merata dunia. Perladangan merupakan enjin pengembangan empayar Eropah, di mana tanaman kontan (cash crop) dihasilkan untuk eksport, dan bagaimana empayar berupaya mengumpul kekayaan berlebih-lebihan. Penulis terawal tentang plot ladang ini telah mengisahkan sebuah epik untuk menguasai dunia, dan cerita rekaan mereka begitu bertalu-talu hingga menjadi sejarah.
‘Plot ladang’ ini memerlukan tenaga manusia secara besar-besaran untuk menoreh getah di Tanah Melayu, memotong tebu di Caribbean, dan menanam teh di India dan Sri Lanka. Dengan itu, ia menulis semula geografi manusia, melihat manusia hanya sebagai pembantu kepada monokultur dan ‘menanam’ mereka di bumi asing. Ada yang pergi jauh – buruh Tamil, selalunya sebagai buruh terikat (indentured), telah dipindahkan ke Malaya, Guyana, Afrika Selatan. Yang lain, seperti orang asal Huitoto dan Bora dari kawasan Amazon Peru, telah dirampas tanah mereka dan diperhamba untuk mengutip getah hutan di tanah mereka sendiri.
Lebih enam ratus tahun kemudian, kita masih lagi terperangkap dalam realiti bekaman plot ladang yang menakjubkan. Ladang ini bukan sahaja berterusan, ia membiak di depan batang hidung kita: di Indonesia dan di Malaysia, berjuta hektar hutan dan tanah ladang telah ditebang untuk menanam kelapa sawit. Jika kita tarik balik tirai kilauan perbadanan itu, apa yang tinggal hanyalah raksasa yang meruncing dan dangkal, lapuk serta sangat cetek. Pakatannya ternyata pada ufuk kelapa sawit yang mengiringi lebuhraya kita, getah pecah yang memenuhi saluran akar gigi kita, manisan buah yang kita beli dari kedai runcit.
Kita telah mewarisi dunia yang rosak. Jika kita tidak lagi dapat membayangkan dunia tanpa ladang dan kuasa penstrukturannya, maka kita mesti mengenali strategi dan sejarah luar tabiinya, merenggangkan diri kita daripadanya, dan membuat provokasi estetik dan naratif yang baharu. Plot ceritanya mesti bertambah rumit.
Pameran The Plantation Plot ini menghimpunkan karya 28 orang artis, terutamanya dari Asia Tenggara dan benua Amerika, yang muncul selepas ladang ini mula diusahakan. Mengambil iktibar daripada pengkritik Jamaica Sylvia Wynter, kami mengubah suai plot ladang dalam dua maknanya yang membentuk cerita dan juga tempat. Kisah yang lazimnya diceritakan tentang perladangan adalah plot induk ekonomi politik dan akibatnya kepada manusia. Pameran ini terlebih dahulunya mengambil kira bentuk-bentuk estetik yang muncul dan menular daripada plot induk ekonomi politik ini, menjadi saksi kepada kedua-dua keadaan ngeri di ladang dan keasyikan romantik yang digambarkan. Namun, seni dan afektif bukan hanya produk atau komoditi, yang terhasil daripada realiti ekonomi semata-mata.
Justeru, pameran ini juga melatardepankan ekonomi afektif, di mana seni memberi landasan deria ‘somatik’ dari mana ekonomi politik boleh diceritakan semula. Menangani mod afektif yang dilahir, dirosak, dan ditimbangtarakan oleh ladang dan logiknya (atau tidak), The Plantation Plot ini bersifat ‘retrospektif’ (melihat ke belakang), dan pada masa yang sama berjangkakan masa depan yang belum tiba.
2015-2025 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG