PAMERAN /
Siri POLLINATION 4 yang kali ini berjudul the palms of y/our hands (telapak tanganku/mu), bertemu, berbanding, dan berbicara dengan sosok-sosok rentas generasi dari Myanmar. Ia merenung kisah-kisah hijrah yang tidak didendang, dengan memberi tumpuan terhadap cerita-cerita yang ada di antara kota Pulau Pinang dengan Yangon. the palms of y/our hands melihat kepada persamaan, perbezaan, pertindihan, pengulangan, serta kitaran bagi sebuah tindakan yang disebut sebagai berhijrah, bergerak, dan berpindah.
Dalam karya ini, para seniman berusaha untuk lari jauh dari citra penderitaan, keganasan, dan kehancuran yang sering ditempelkan pada pameran dan projek seni bertemakan persengketaan. Siri POLLINATION kali ini bertitik-tolak dari peristiwa rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar pada tahun 2021. Peristiwa tersebut berhujung dengan keganasan, pengerahan tenaga, dan kesempitan ekonomi, sehingga ramai rakyat Myanmar tiada pilihan kecuali meninggalkan rumah dan tanah air sendiri. Dengan trauma yang tidak pernah padam, para kurator dan seniman dalam penerbitan ini ingin membangunkan sebuah projek bersifat baik pulih yang berhasrat untuk menawarkan lapis-lapis getaran berbentuk ruang, pertalian, kerohanian, kebangsaan, mahupun antarabangsa, antara tanah tempat lahir penciptanya, iaitu Myanmar dengan Malaysia. Namun sudah tentu ia melampaui dua buah negara tersebut. Ia ingin menghembuskan roh kepada nilai persahabatan dan kepercayaan sejagat yang wujud dalam hari-hari persengketaan dan pengusiran. Pada hujungnya, kisah-kisah tentang orang yang pengalaman hidupnya sering diketepikan ini ditulis.
Penerokaan ini menyusur antara video, gambar, puisi, pemetaan kolektif, serta bahan-bahan arkib dan peribadi. Ia ingin merenung dan berbual tentang sejarah, ingatan, manusia, dan tentang tempat yang bertindan dan tersulam dalam projek ini. the palms of y/our hands lahir dari 13 zon waktu, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Yangon, London dan Washington D.C.
Siri ke-4 POLLINATION ini menampilkan Mark Teh dan Diana Nway Htwe sebagai kurator. Kerja penyelidikan bagi projek yang berhujung dengan suatu bentuk kerjasama rentas disiplin antara Jae Jae, M, Okui Lala, Steven Nyi Nyi, dan lain-lain ini bermula pada bulan Mac 2024. in-tangible institute, pengelola dan penganjur siri POLLINATION ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan penasihat kuratorial bagi terbitan kali ini: Rahel Joseph, Sumit Mandal, Penwadee Nophaket Manont dan Zoe Butt. Tidak lupa buat ILHAM Gallery, SAM Funds for Art and Ecology dan The Foundation for Arts Initiatives atas sokongan yang diberikan.
POLLINATION merupakan sebuah acara dwitahunan yang menghubungkan para kurator dan seniman baru dari Asia Tenggara. Dengan bantuan kewangan dan pendidikan, ia meneliti naratif-naratif yang muncul dan bergerak merentasi sempadan. Acara ini memberi peluang kepada para peserta untuk mencipta bersama-sama, sekaligus menuai manfaat daripada ruang-ruang seni milik persendirian yang percaya kepada sebarang bentuk perkongsian (pendebungaan) idea dan pelbagai kegiatan kritikal lain.
2015-2025 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG