PENYELIDIKAN / PUSAT SUMBER


ILHAM Art Show 2022

Galeri ILHAM berbesar hati mengumumkan tiga puluh satu artis yang dipilih menyertai Pameran Seni ILHAM, pameran panggilan terbuka pertama untuk galeri. Kami berbesar hati mempersembahkan Pameran Seni ILHAM yang pertama dalam siri pameran tiga tahun sekali, sebagai usaha memberi peluang kepada para artis di Malaysia bereksperimen dan membuat karya baharu. 

Apabila kami mengumumkan permulaan Pameran Seni ILHAM, negara ini berada di bawah sekatan pergerakan kali kedua akibat pandemik koronavirus. Dengan tertutupnya muzium dan galeri beberapa lama, ianya menjadi lebih penting daripada sebelumnya untuk memperkenalkan program yang akan menyokong artis kontemporari dan merangsang perbincangan awam dan perdebatan kritis di Malaysia.

Juga penting bagi kami proses permohonan menyertai Pameran Seni ILHAM, pameran panggilan terbuka pertama kami ini, harus inklusif sebeberapa bolehnya, terbuka kepada semua artis yang bertempat di Malaysia, tanpa mengira jantina, kewarganegaraan, pengalaman atau media. Kami menerima lebih 360 permohonan daripada berbagai jenis artis. Permohonan disemak oleh panel pemilihan yang terdiri daripada Rahel Joseph, Pengarah Galeri ILHAM, Shabbir Hussain Mustafa, Kurator Kanan, Galeri Nasional Singapura, dan Zoe Butt, bekas Pengarah Artistik, ‘The Factory Contemporary Arts Centre’ Vietnam.

Pada September 2021, kami mengumumkan 31 orang artis yang dipilih. Senarainya adalah antara generasi, mengandungi artis serta kolektif yang baru muncul dan mapan. Artis yang dipilih ialah Azizan Paiman, Azzaha Ibrahim, Blankmalaysia,  CC Kua, Chang Yoong Chia, Cheng Yen Pheng, Chong Yan Chuah, Dhavinder Singh, Dipali Gupta, Eddie Wong, Engku Iman, Haffendi Anuar, Haris Abadi, Hasanul Isyraf Idris, Hoo Fan Chon, Ivan Lam, Izat Arif, Kamal Sabran, Kim, Kumpulan Ukir Kite’ Kelab Kebudayaan Mah Meri, Leon Leong, Mimi Aslinda, Minstrel Kuik, Pangrok Sulap, Samsudin Wahab, Sharon Chin, Tan Kian Ming, Tan Zi Hao, Tetriana Ahmed Fauzi, Tin & Theyvapaalan S Jayaratnam, dan Yeoh Choo Kuan. Setiap artis diberi geran pembuatan seni untuk menampung kos pembikinan karya yang dicadangkan. Kami mahu proses ini menyokong ciptaan karya baharu, terutama sekali karya yang bersifat eksperimen, membolehkan si artis membayangkan jenis karya yang mungkin ia tidak berpeluang mencipta sebelum ini.

Selama beberapa bulan lepas, kami telah berpeluang melawat artis di studio mereka di merata negara. Apabila bilangan kes Covid meningkat dan pelbagai bencana banjir menghalang, kami berbincang menerusi zoom di komputer. Memang kami teruja berpeluang melihat sendiri cadangan awal mereka dijelmakan menjadi karya yang menarik dalam ruang galeri. 

Sememangnya Pameran Seni ILHAM adalah mengenai proses pengkaryaan. Ianya juga mengenai idea dan konsep. Sehubungan, kami telah menugas sekumpulan penulis - Aminah Ibrahim, Denise Lai, Ellen Lee, Kat Rahmat, Sheau Yun Lim, Samantha Cheh, dan Khat Mirzan – berwawancara  dengan para artis. 


Pameran Seni ILHAM 2022 merangkumi karya yang meninjau naratif yang kompleks, yang peribadi dan yang berunsur politik, dari segi sejarah mahupun konsep. Karya yang menggabung tradisi dan teknologi, lama dan baharu, menangani pelbagai subjek seperti sejarah yang dipertikaikan, penghijrahan, konsep masa dan dunia khayalan, adat penyembuhan, dan hubungan dengan budaya dan tempat.

Karya-karya ini mengingatkan kita tentang kuasa seni dan betapa pentingnya pelbagai cerita dan suara yang membentuk naratif negara mewakili kita keseluruhannya. Seni boleh membantu kita memahami masa lampau, menjelaskan cabaran yang akan datang dan menyatukan kita dalam pengalaman yang terkongsi. Kami selesa dengan kedudukan karya Hatat Yut oleh Kumpulan Ukir Kite’ Kelab Kebudayaan Mah Meri di depan dan tengah ruang pameran. Kami harap upacara tradisional untuk mengusir koronavirus dan segala gejala negatif yang melanda negara kita akan menawar sembuh dan damai kepada kita semua, sambil kita mulakan langkah baharu ke hadapan.

TEMU BUAL ARTIST

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM