oleh Ai Weiwei
Artis, arkitek, penyair, aktivis dan blogger Ai Weiwei (l. 1957, China) merupakan salah seorang tokoh yang paling berpengaruh dalam dunia seni dan budaya kontemporari hari ini.
Divina Proportione (2015) di Menara ILHAM ialah karya arca awam kekal beliau yang pertama ditampilkan di Asia Tenggara.
Satu ekspresi berkaitan keindahan dan keanggunan matematik, karya ini menggambarkan penglibatan serta komitmen panjang artis ini dengan elemen bentuk dan kesignifikanannya. Tajuk karya ini merujuk kepada buku tulisan Luca Pacioli mengenai kadaran- kadaran matematik dan kegunaannya dalam bidang geometri, seni visual dan seni bina yang diterbitkan pada 1509, yang mana turut memaparkan lakaran-lakaran oleh Leonardo da Vinci, termasuklah ilustrasi-ilustrasi pelbagai bentuk polihedron.
Berhubung dengan arca-arca tersebut di Menara ILHAM, struktur-struktur polihedronnya, yang diperbuat daripada kepingan-kepingan gangsa, digilap sehingga menghasilkan tona “ros” dan dicantumkan dengan kimpalan keluli tahan karat, memiliki nilai estetik yang lebih bersifat moden dan industrial, justeru berjaya menimbulkan dialog dengan reka bentuk teknologi tinggi bangunan baru ini yang terletak di tengah-tengah landskap kota Kuala Lumpur.
oleh Pinaree Sanpitak
Pinaree Sanpitak (l. 1961, Thailand), salah seorang artis Asia Tenggara yang cukup dikagumi, menghasilkan lapan buah objek ini yang direka bentuk bagi membantu dan mengawal pertumbuhan tanam-tanaman. Dibuat daripada keluli tahan karat jenis industrial oleh sebuah syarikat perabot di Bangkok, karya instalasi yang dipasang di luar bangunan ini menarik perhatian pengunjung untuk berinteraksi dengannya, memasuki ruang di dalamnya sambil menikmati bayang mereka yang terpantul pada permukaan struktur-strukturnya yang digilap hingga betul-betul berkilat.
2015-2024 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG