PAMERAN /

The Bouquet and the Wreath (Rebirth)

25 Julai – 11 Oktober 2026 (Aras 3)

ILHAM dengan sukacitanya mempersembahkan The Bouquet and the Wreath (Rebirth), sebuah pameran solo oleh seniman Thailand yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Araya Rasdjarmrearnsook, yang akan berlangsung dari 25 Julai hingga 11 Oktober 2026. Pameran ini merupakan pameran solo pertama beliau di Malaysia. 

Pameran ini menelusuri perjalanan lebih empat dekad amalan seni Araya di persada antarabangsa. Ia menghimpunkan karya-karya baharu yang dipamerkan buat julung kalinya di sini, di samping karya-karya penting dari awal kerjaya beliau yang tidak pernah dipamerkan kepada umum sejak sekian lama. Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai bentuk karya, termasuk karya video, instalasi arca, serta pilihan teks daripada praktik artistiknya.

Bunga, katil dan perkataan menjadi motif yang berulang sepanjang pameran ini, mencerminkan renungan Araya terhadap persoalan keinginan dan kematian, perbezaan serta sifat ingin tahu. Melalui karya-karya yang menggabungkan unsur jenaka halus dan suasana yang penuh perenungan, beliau mengajak kita mendekati persoalan-persoalan falsafah yang mendasar. Apakah tujuan seni? Apakah makna menjadi manusia? Seperti yang diungkapkan Araya, "Saya tidak perlu menjelaskan setiap perkara yang saya rasa, bukan?" 

Pameran ini merupakan kesinambungan kepada The Bouquet and the Wreath, yang dipersembahkan bersama oleh MAIIAM Contemporary Art Museum, Chiang Mai dan Jameel Arts Centre, Dubai, pada tahun 2025–2026. 

The Bouquet and the Wreath (Rebirth) dipersembahkan oleh ILHAM dengan kerjasama MAIIAM Contemporary Art Museum, Chiang Mai dan Jameel Arts Centre, Dubai. Kolaborasi ini mencerminkan komitmen ILHAM dalam memperkukuh jaringan antarabangsa serta menjalin kerjasama dengan institusi seni terkemuka di Asia Tenggara dan dunia Islam. 

Pameran ini mengandungi tema dewasa yang mungkin tidak sesuai untuk anak-anak kecil. Mohon bimbingan ibu bapa.


Acara Pembukaan 

Sabtu, 25 Julai 2026, 3:00ptg 

Bersempena pembukaan pameran di ILHAM, Araya Rasdjarmrearnsook telah menghasilkan sebuah teks baharu yang dipadankan dengan karya imej bergerak khas untuk acara ini. Teks tersebut akan dipersembahkan oleh seniman Malaysia, Sharon Chin, bersempena tayangan sulung karya video tersebut di hadapan Araya sendiri. Majlis turut disertai dengan sesi pengenalan pameran oleh kurator, Roger Nelson. Teks persembahan dan karya video ini diterbitkan menerusi komisen bersama oleh Jameel Arts Centre, Dubai. 

Tempat adalah terhad. Penyertaan adalah melalui RSVP sahaja. Untuk mengesahkan kehadiran, sila e-mel kepada info@ihamgallery.com.
 


Mengenai Artis

Araya Rasdjarmrearnsook (l. 1957, Thailand; menetap di Chiang Mai) ialah seorang seniman, penulis dan profesor yang diiktiraf sebagai antara tokoh seni kontemporari paling berpengaruh di Asia Tenggara. Lebih 45 tahun berkarya, beliau telah mempamerkan hasil seninya di pelbagai pameran dan acara seni antarabangsa yang berprestij, termasuk Documenta, Carnegie International, serta biennale di Venice, Johannesburg, Sydney, Istanbul, Bangkok, Jakarta, Gwangju dan Singapura. Karya-karya beliau kini menjadi sebahagian daripada koleksi institusi seni terkemuka dunia, antaranya Solomon R. Guggenheim Museum, New York; M+, Hong Kong; serta muzium-muzium utama di Singapura, Australia, Jepun, Finland, Belanda, Amerika Syarikat dan Thailand. Pameran tinjauan berskala kecil yang memfokuskan kepada amalan seninya pernah dianjurkan oleh SculptureCenter, New York (2015) dan 4A Centre for Contemporary Asian Art, Sydney (2014). Araya turut memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan seni di Thailand. Beliau merupakan antara pelopor yang memperkenalkan kurikulum seni berasaskan pendekatan antara-disiplin, yang kemudiannya membuka ruang baharu dalam pendidikan seni di negara tersebut. Di kediaman dan studionya di Chiang Mai, Araya memelihara puluhan ekor anjing jalanan yang diselamatkan. Haiwan-haiwan ini sering muncul sebagai sebahagian daripada karya-karyanya. 
 


Mengenai Kurator

Roger Nelson ialah seorang sejarawan seni dan kurator, serta Pensyarah Kanan Sejarah Seni di Nanyang Technological University, Singapura. Beliau telah mengkuratorkan pelbagai pameran di Australia, Kemboja, Malaysia, Singapura, Thailand, United Arab Emirates (UAE ), dan Vietnam. Roger dikenali sebagai pakar dalam bidang seni moden dan kontemporari Asia Tenggara, dan juga rakan-kolaborasi kepada Araya Rasdjarmrearnsook. Bersama Kittima Chareeprasit, beliau mengkuratorkan The Bouquet and the Wreath di Thailand dan UAE, di samping menyunting bersama penerbitan setebal 222 halaman dengan judul yang sama, yang diterbitkan pada tahun 2026. Beliau juga merupakan penyunting bersama, bersama Chanon Kenji Praepipatmongkol, bagi buku setebal 496 halaman yang menghimpunkan tulisan-tulisan Araya bertajuk I Am An Artist (He Said). Buku tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Kong Rithdee dan diterbitkan oleh National Gallery Singapore pada tahun 2022. Penerbitan ini merupakan buku pertama yang menghimpunkan penulisan Araya dalam bahasa Inggeris.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM