PROGRAM / 


Robert Rauschenberg and Asia

Merantau & Geserannya: Dialog bersama Rauschenberg, ROCI dan Malaysia

Siri program ini meletakkan pameran ROCI MALAYSIA (1990) oleh Robert Rauschenberg sebagai titik tolak sejarah untuk membuka ruang dialog. Berpandukan perspektif, serantau, merantau, program-program ini mewujudkan perbicaraan semasa antara legasi arkib Rauschenberg dan para pengamal seni kontemporari Malaysia yang meneroka imej, sisa bahan, bunyi dan ruang.

Jun          


Lawatan Kuratorial          

Bersama Russell Storer

Ahad, 14 Jun, 2:30PTG

Lawatan kuratorial oleh kurator pameran, Russell Storer, Kurator Kanan dan Ketua Hal Ehwal Kuratorial, M+.

Sila ambil perhatian bahawa pendaftaran program ini telah dipenuhi.

Julai


The Material Combine (Gabungan Bahan): Menyaring Lambakan Imej

Bengkel dikendalikan oleh kolektif seni, Chetak 12

Sabtu, 11 Julai, 2:00PTG-5:00PTG

Sebuah bengkel cetakan sutera (silkscreen) yang diinspirasikan oleh konsep asas Combine yang diperkenalkan oleh Rauschenberg, serta amalan beliau mencetak imej-imej media yang ditemui ke atas permukaan alternatif dan objek harian seperti keluli bersalut timah semasa lawatannya ke Malaysia. Harga untuk masuk: RM120. Sila e-mel info@ilhamgallery.com untuk berdaftar.

Merantau untuk Makna: Penterjemahan, Pemindahan dan Katalog ROCI MALAYSIA         

Perbicaraan oleh Pauline Fan 

Sabtu, 18 Julai, 3:00PTG. Walk-in diterima.

Katalog asal 'ROCI MALAYSIA 1990' yang diterbitkan dalam dwibahasa (Bahasa Melayu/Inggeris) menampilkan karangan yang disusun bersebelahan oleh penunlis tempatan Muhammad Haji Salleh dan kurator Amerika Donald Saff.

Melalui perbicaraan ini, Pauline Fan, seorang penulis dan penterjemah, akan meneliti kompleksiti kreatif dan politik dalam proses penterjemahan. Beliau akan membincangkan bagaimana identiti serantau yang pelbagai dan berbilang suara diterjemahkan menjadi naratif kebangsaan, sambil meninjau cabaran institusi serta kemungkinan puitis yang muncul apabila bahasa-bahasa budaya yang berbeza bertembung dalam sebuah penerbitan.

Ogos


'Malady & Remedy: Orang Asli Art Engaging with Ecological Crises'

Perbicaraan oleh Wendi Sia dari Gerimis Art Project. Dalam Bahasa Inggris.

Sabtu, 1 Ogos, 3:00PTG. 

Pada tahun 1970, Robert Rauschenberg telah mereka sebuah poster Hari Bumi yang pertama, poster tersebut menampilkan imej helang botak Amerika di tengah-tengah kolaj yang menggambarkan kemerosotan alam sekitar. Komposisi visual ini secara simbolik meletakkan Amerika Syarikat sebagai pusat kepada krisis alam sekitar yang sedang melanda dunia. Dilahirkan dan dibesarkan di Port Arthur, sebuah bandar minyak di Texas, sebelum menetap di Pulau Captiva yang terpencil di Florida, Rauschenberg menyaksikan sendiri kemusnahan kawasan tanah lembap, tumpahan minyak yang memusnahkan ekosistem, serta penyusutan populasi burung.

Karya-karya seni alam sekitar Rauschenberg lahir daripada pengalaman dan keperihatinannya terhadap kemusnahan tersebut. Beliau percaya bahawa “seni mampu membangkitkan kesedaran nurani setiap individu.” Seni menjadi wadah untuk beliau meluahkan rasa dukacita, meratapi kerosakan yang berlaku, serta menggesa tindakan terhadap krisis yang berpunca daripada manusia sendiri. Dalam karya cetakan litografinya yang bertajuk Last Turn—Your Turn, beliau menulis, “Kini adalah satu-satunya waktu yang kita miliki. Kita memerlukan semua kehidupan yang masih wujud untuk berusaha dengan penuh kesungguhan dan dedikasi jika tidak mampu membalikkan kematian yang hampir pasti ini, sekurang-kurangnya mengembalikannya kepada kehidupan.”

Kini, kesan krisis alam sekitar dan perubahan iklim semakin dirasai oleh masyarakat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat Orang Asli, krisis ini bukan sekadar menyentuh isu alam sekitar, selain itu ia juga melibatkan krisis eksistensial. Bagaimanakah para seniman dan penjaga warisan budaya Orang Asli bertindak balas terhadap gangguan yang semakin menjejaskan cara hidup, pengetahuan, dan hubungan mereka dengan alam apabila tanah adat, hutan, dan sumber air nenek moyang mereka terus dicerobohi? Bagaimanakah kita dapat bersama-sama menyaksikan gangguan terhadap ekologi, kehidupan kebendaan, kerohanian, dan kosmologi mereka, sambil membina solidariti? Sesi ini mengetengahkan kisah, amalan, dan tindak balas para seniman serta penjaga warisan budaya Orang Asli melalui pelbagai bentuk ekspresi seni, sekali gus mendedahkan kebenaran yang selama ini jarang diperkatakan atau didokumentasikan.

Seni sebagai Pemangkin Perubahan Sosial

Syarahan oleh Jo Kukathas

Sabtu, 8 Ogos, 3:00PTG

Apakah peranan seni dalam masyarakat? Salah satu pegangan utama Rauschenberg ialah seni harus berfungsi sebagai pemangkin kepada perubahan sosial. Tujuan syarahan oleh penggiat teater tersohor, Jo Kukakthas, ini adalah bagi menelusuri perananan seni dalam pembentukan masyarakat sivil yang lebih berperikemanusiaan dan inklusif, serta kepentingan ekspresi kreatif sebagai ruang untuk dialog yang merangkumi pelbagai suara.

September


An American Pragmatist: Robert Rauschenberg di Malaysia dan Singapura

Sharahan oleh Kathleen Ditzig

Sabtu, 26 September, 3:00PTG

Pembentangan Rauschenberg Overseas Culture Interchange (ROCI) di Malaysia pada tahun 1990 bukanlah kali pertama mahupun terakhir karya Robert Rauschenberg dipamerkan di Asia Tenggara. Karya beliau telah diperkenalkan di rantau ini melalui pameran berkumpulan seni Amerika yang menjelajah pada tahun 1960-an dan 1970-an, serta terus dipamerkan di Malaysia sepanjang dekad 1990-an. Pada tahun 1997, galeri TAKSU yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Wetterling Teo Gallery di Singapura telah bekerjasama menganjurkan pameran solo karya beliau di kedua-dua negara. Dalam siaran medianya, Rauschenberg digelarkan sebagai seorang "Pragmatis Amerika." Dengan menumpukan kepada pembentangan karya Rauschenberg di Malaysia dan Singapura, syarahan ini menelusuri bagaimana karya beliau ditafsir dan dibingkaikan dalam wacana seni dari tahun 1970-an hingga 1990-an. Ia juga mengupas makna gelaran "Pragmatis Amerika" dalam konteks keutamaan dan cabaran tempatan serta antarabangsa yang membentuk penerimaan seni Amerika di Asia Tenggara menjelang penghujung Cold War.

Penyelidikan bagi syarahan ini disokong oleh projek Rauschenberg and Asia di Muzium M+ serta program pengenalan (fellowship program) di Robert Rauschenberg Foundation Archives pada tahun 2025.

Kathleen Ditzig (PhD) ialah kurator dan sejarawan seni dari Singapura yang meneliti infrastruktur serta geopolitik dunia seni, termasuk kesan budaya Cold War Amerika Syarikat di Asia Tenggara.

Oktober


Vernacular Cosmopolitanism vs. The Global Art Jet (Kosmopolitanisme Vernakular vs. Jaringan Seni Global)

Perbicaraan oleh Dr. Sumit Mandal (Pengarang Becoming Arab: Creole Histories and Modern Identity in the Malay World)

Sabtu, 24 Oktober, 3:00PTG

Satu pertukaran pandangan yang meneliti dua bentuk kosmopolitanisme yang berbeza. Perbicaraan ini mempertemukan visi Rauschenberg tentang perkongsian seni global yang terancang dan bergerak merentas negara dengan penyelidikan Dr. Mandal yang mendalam mengenai jaringan 'perantau' bersejarah - seperti perdagang Hadhrami, Bugis dan Minangkabau - yang membentuk percampuran budaya secara organik, tanpa tajaan rasmi dan berasaskan hubungan akar umbi di seluruh Alam Melayu.


 

Program Kanak-Kanak di ILHAM


Pernahkah anda terfikir untuk membawa anak ke galeri seni, tetapi tidak pasti di mana atau bagaimana untuk bermula?

Ayuh, cetuskan rasa ingin tahu dalam diri anak anda, malah diri anda sendiri, dengan menyertai program ILHAM Kids: Lawatan Eksplorasi Seni, yang kembali dianjurkan pada Oktober 2026 bersempena dengan pameran terbaharu kami, “Robert Rauschenberg and Asia”. Pameran ini berlangsung sehingga 1 November 2026.

Robert Rauschenberg (1925–2008, U.S.A.) diiktiraf secara meluas antara seniman paling inovatif dan berpengaruh pada abad ke-20. Karya-karyanya mendahului perkembangan beberapa aliran penting dalam seni pasca-perang, seperti Seni Pop, Seni Konseptual dan Seni Instalasi. Melalui pendekatan eksperimental beliau, Rauschenberg mentakrifkan semula pengertian sesebuah karya seni dengan menggabungkan objek harian dan imej daripada media massa ke dalam penghasilan karya, sekali gus mengaburkan batas antara lukisan dengan arca.

Lebih daripada sekadar kelas seni biasa, siri lawatan ILHAM Kids menawarkan pengalaman pertama yang santai dan menyeronokkan dalam mengenali seni halus. Program ini memberi tumpuan kepada pemupukan apresiasi seni dan kreativiti kanak-kanak menerusi pameran semasa di Galeri ILHAM. Sesuai bagi keluarga tempatan mahupun pelancong yang ingin mengenali seni kontemporari Malaysia bersama anak-anak, program lawatan berkonsepkan aktiviti santai ini direka khas untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun. Para peserta berpeluang mendekati perkembangan seni Malaysia dan rantau ini, mentafsir pelbagai idea serta menghasilkan karya seni mereka sendiri dalam persekitaran yang dibimbing oleh fasilitator.

Untuk mendaftar, sila hantarkan e-mel kepada kami di ilhamgallerykids@gmail.com dengan menyertakan nama dan umur anak anda. RM65 bagi setiap kanak-kanak (mesti ditemani oleh ibu bapa) dan RM60 bagi setiap kanak-kanak yang menyertai program bersama adik-beradik. Setiap sesi lawatan memerlukan penyertaan minimum 10 orang kanak-kanak untuk dilaksanakan, dengan kapasiti maksimum 14 orang bagi setiap sesi. Yuran penyertaan merangkumi lawatan berpandu ke pameran semasa, sesi perbincangan mengenai karya seni terpilih serta aktiviti penghasilan karya seni yang berkaitan pada penghujung program.

Jadual Lawatan Terbuka adalah seperti berikut : 

Ahad, 4 Oktober 2026 | 10.30 pagi – 1.00 tengah hari
Ahad, 11 Oktober 2026 | 10.30 pagi – 1.00 tengah hari
Ahad, 25 Oktober 2026 | 10.30 pagi – 1.00 tengah hari
Ahad, 1 November 2026 | 10.30 pagi – 1.00 tengah hari

Tempahan bagi lawatan berkumpulan sekolah turut dibuka. Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi kami melalui e-mel yang sama di ilhamgallerykids@gmail.com.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM