PAMERAN /
Kehadiran berlanjutan masyarakat Nepal di seluruh Asia Tenggara mendedahkan sebuah sejarah yang dibentuk pergerakan keluar masuk dek masalah politik tanpa henti: pengerahan askar Gurkha dibawah Empayar British; pendudukan dan perpindahan paksa masyarakat di Myanmar; dan pemindahan tenaga kerja besar-besaran ke Malaysia serta merentasi kemunculan pasaran Asia. Luapan semasa bekalan tenaga buruh ini sering dijelaskan dengan kata-kata terpaling: berbilion wang dikirim, jutaan diambil kerja, beratus negara dijejaki. Namun dibelakang angka-angka “terpaling” ini ada sistem yang masih bersangkut dengan logik pengeluaran penjajah iaitu hakikat bahawa pengeluaran warganegaranya sendiri terselit dalam jalinan ekonomi kerajaan Nepal.
Jalan cerita popular bahawa Nepal tidak pernah dijajah sering mengaburkan tekanan bersejarah yang memaksa ramai berpindah keluar. Meskipun perbincangan ini menjadi alat penting untuk monarki, ia gagal untuk mengakui pengerahan dan penindasan sistematik warga Nepal dibawah Empayar British. Merentasi Asia Selatan dan Tenggara, British bekalkan buruh ke ladang teh, lombong, dan perparitan. Ketika Perang-Perang Dunia, ratusan ribu askar yang dikerah dari masyarakat Orang Asli Gurung, Magar, Rai dan Limbu untuk dijadikan subjek politik Empayar. Ramai yang terkorban di tanah asing tanpa penghargaan, hidup mereka dimaknakan dengan pengabdian yang terus membayangi masa kini.
Tinggalan tenaga kerja Nepal dalam perkhidmatan sebagai anggota keselamatan tetap wujud kini di Asia Tenggara dengan adanya Kontinjen Gurkha dalam Pasukan Polis Singapura, Unit Simpanan Gurkha Brunei, dan kehadiran anggota keselamatan Nepal yang bertebaran di Malaysia. Namun, disebalik kekusutan ketenteraan formal dan separa, ramai yang cuba mengakar diri, mengerah tubuh untuk bertahan di ranah yang asing dari tanah kelahiran sambil berpaut pada impian rapuh dan kadangnya makin menjauh untuk membina halaman baharu.
Tajuk pameran ini dipetik daripada salah satu kisah perpindahan daripada cerpen karya Indra Bahadur Rai, The Long March Out of Burma. Menurut cerita ini, watak utamanya, Jayamaya, dapat tahu mengenai pendudukan Jepun menjelang Perang Dunia Kedua daripada bapanya, Subedar Shivajit Rai, seorang Gurkha yang memilih untuk menetap di Myitkyina. Kata-katanya menjadi ulangan menghantui sejarah serpihan diaspora Nepal di Myanmmar: “Jika Gorkha hanya ada hingga hari ini untuk nikmati tanah ini, jadi biarlah. Tapi, kalau masih ada nasib baik untuk kita, pulanglah untuk kita berkongsi tawa dan ria.”
Untuk mempertikai binaan bangsa, rasa penerimaan, dan pewujudan tempat, ada keperluan untuk meletakkan sejarah “tidak rasmi” dan identiti yang sering muncul dicelah retakan pembentukan negara moden. Setelah pengakhiran era monarki Nepal pada tahun 2008, terdapat kenaikan mendadak dalam jumlah permit buruh yang dikeluarkan untuk ke luar negara. Setelah hampir dua dekad, jaringan ini berkembang ke seluruh Asia, terutamanya negara-negara Teluk dan Malaysia; di sini sahaja 500,000 warga Nepal bekerja dalam sektor perkilangan, keselamatan, perkhidmatan, dan perladangan, menjadikan mereka sebagai kumpulan warga asing kedua terbesar di negara ini.
Berikutan pemergian tanpa henti ini, masyarakat Nepal kini mengalami penstrukturan semula besar-besaran. Pemergian mereka yang kebanyakkannya lelaki kini meletakkan tanggungjawab ke atas bahu wanita yang menetap di Nepal. Penukaran ini menerbitkan kumpulan akar umbi dan penuntutan semula sistem leluhur yang dahulunya diketepikan. Wanitanya kini menghidupkan semula rangka kerja lama mengikut rasa kekitaan dan menjalinnya dengan bentuk kerjasama baharu sambil giat membayangkan semula jenis masyarakat melalui pandangan ketahanan dan penjagaan sentuhan tanpa kehadiran orang lelaki.
Melalui penjejakan perpindahan paksa selama dua abad, pameran ini meneliti arah tuju yang dibentuk kesementaraan dan kitaran kepulangan. Dengan kumpulan suara-suara yang pelbagai, yang hidup mereka dibentuk langsung arus penghijrahan, artis-artis ini menumpukan jalan cerita ketabahan, keinginan, keriangan, dan ikatan, lantas jauh meninggalkan statistik derita yang hambar mendatar. Pameran ini juga suatu cubaan untuk menuntut semula harga diri mereka yang kehadirannya diremehkan dalam mesin kapital global dan untuk mengenal pasti perincian sangkut-paut penting yang menjadi asas kepada cara-cara kita bergerak sebagai sebuah masyarakat.
Pameran ini melibatkan artis dari Nepal dan Malaysia termasuk Hit Man Gurung, Suzana Shrish, Priyanka Singh Maharjan, Hoo Fan Chon, dan Okui Lala.
2015-2026 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG